Projek pembangunan berdekatan lokasi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights disahkan mendapat kelulusan sah daripada pihak berkuasa dan bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) milik Petronas.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, projek itu telah diluluskan serta diberikan kebenaran merancang (KM) pada tahun 2022 dan melalui semua proses sewajarnya termasuk permohonan kepada Petronas.
“Projek itu bukan dalam kawasan ROW Petronas. Kelulusan diperoleh termasuk kebenaran menggunakan ROW untuk laluan Indah Water Konsortium (IWK),” katanya memetik laporan Harian Metro, 2 April 2025.
Menurutnya, kontraktor projek juga merupakan panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas.
Mengulas dakwaan yang tular di media sosial berhubung kaitan projek itu dengan insiden letupan, Amirul Azizan menjelaskan pihak berkuasa tempatan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi buat masa ini.
“Kita serah kepada siasatan oleh Petronas, polis dan agensi berkaitan. Maklumat di media sosial bukan kenyataan rasmi. Punca sebenar perlu dikenal pasti menerusi siasatan penuh,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan projek berkenaan sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun tertangguh disebabkan isu berkaitan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Saya tidak tahu punca sebenar kelewatan itu kerana ia bukan bawah bidang kuasa saya. Tapi semua prosedur dan syarat dipatuhi sepenuhnya,” jelasnya.
Sebelum ini, penduduk tempatan mendakwa kerja-kerja pengorekan yang dijalankan berhampiran kawasan tersebut menjadi punca insiden letupan dan kebakaran yang berlaku semalam.
Sumber : thereporter
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.