Abang sulung Allahyarham Nidza Afham iaitu Muhammad Nidza Irfan, 33, menemui folder dalam komputer riba adiknya yang mengandungi makna-makna dalam solat.
Menurut Irfan, sejak kebelakangan ini, adiknya itu acapkali bertanya tentang persediaan untuk menjadi suami.
Semenjak dia bekerja dengan saya, dia mula bertanya di mana tempat untuk dia menyimpan duit untuk pelaburan.
Dia juga sedang mencari-cari lokasi menarik untuk majlis resepsi.
“Disebabkan dia dalam persiapan untuk menjadi seorang suami, saya lihat dalam komputer ribanya ada folder khas yang memuatkan makna-makna dalam solat. Mungkin dia nak solat lebih khusyuk. Dalam telefon bimbitnya juga ada,” katanya ketika ditemui usai selesai majlis pengebumian, di sini, semalam.
Dilihat gagal menahan sebak saat adiknya disemadikan sehingga terpaksa ditenangkan oleh ibunya, kata Irfan, dia akan merindukan gurau senda adik kesayangannya itu.
“Saya akan rindu cara gelak dia. Cara dia bergurau. Dia suka tambah ‘minyak’ kalau kita gurau adik-beradik.” katanya dalam nada sebak.
Tambahnya lagi, dia sekeluarga reda dengan pemergian Afham dan akan cuba sedaya upaya untuk untuk terima kehilangan ini dan hanya akan mengingati memori indah bersama.
“Semua memori yang ditinggalkan oleh arwah indah-indah belaka. Memori indah itu kami tak akan tukar kepada memori sedih,” ujarnya.
Semalam, Allahyarham Nidza Afham Mokhtar, 23, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam kira-kira jam 6.45 petang
Jenazah Muhammad Nidza Afham Mokhtar selamat tiba di Masjid Puncak Alam, di sini, dalam keadaan cuaca hujan jam 5.40 petang.
Terdahulu, jenazah Allahyarham berusia 23 tahun dimandikan dan dikafankan di Hospital Shah Alam sebelum dibawa dengan menaiki van jenis Toyota Hiace.
Difahamkan, solat jenazah akan diimamkan bapa Allahyarham iaitu Mokhtar Mahmood, 57.
Dianggarkan lebih 1,000 penduduk, saudara mara dan sahabat handai hadir ke masjid sejak jam 3 petang.
Selepas itu, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah.
Semalam, mayatnya ditemukan di Sungai Klang selepas Muhammad Nidza dilaporkan hilang, kelmarin.
Polis mengklasifikasikan kematian penyanyi, Nidza Afham, 23, yang ditemukan di Sungai Klang semalam sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa selesai pada 3 petang tadi.
“Bedah siasat dijalankan pada 11 pagi sehingga 3 petang ke atas mayat Muhammad Nidza Afham Mokhtar.
“Punca kematian adalah menunggu laporan siasatan makmal dan tiada kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, petang semalam adalah Nidza Afham.
Menurutnya, jenazah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses selanjutnya.
Mangsa dilaporkan hilang 7.45 petang kelmarin selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam sebelumnya.
Dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemukan di Jambatan Sungai Klang.
Polis sedang menyiasat sama ada kematian penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar mempunyai kaitan dengan unsur jenayah, masalah peribadi atau mental.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beliau semalam meninjau lokasi arwah yang dilaporkan kali terakhir berada iaitu di sekitar Jambatan Kota, Klang.
Tinjauan itu menjurus kepada beberapa perkara yang perlu disiasat melibatkan sebarang unsur jenayah, masalah peribadi dan mental. Kita juga akan siasat sama ada arwah ada alami masalah atau gangguan atau pernah dapatkan sebarang rawatan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, polis telah merekodkan keterangan lapan individu termasuk ahli keluarga dan kenalan mangsa setakat ini dan ia sebahagian daripada proses membabitkan aspek siasatan.
Tambah beliau, pihaknya setakat ini mengesan satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar bangunan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Berdasarkan semakan itu, ada memaparkan arwah sedang berjalan berseorangan menuju ke arah jambatan. Namun, rakaman hanya setakat itu dan tidak nampak sehingga ke lokasi terakhir arwah berada. Jadi, ia tidak melihatkan apa yang berlaku,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan tiada dokumen atau barang kepunyaan penyanyi, Nidza Afham, 23, yang hilang seperti didakwa malah ahli keluarganya tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu. – KOSMO! ONLINE
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.