Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran menerusi laman sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham yang juga dikenali dengan panggilan ‘Pak Lah’, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya.
Kuala Lumpur: “Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badwi) bolehlah datang ke Masjid Negara esok,” kata menantu Perdana Menteri Kelima Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara dari 11 pagi hingga 1 tengah hari sebelum jenazah dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan.
“Jenazah Tun Abdullah akan dibawa (dari lnstitut Jantung Negara) ke kediaman beliau di Kuala Lumpur dan pada esok pagi, jenazah akan dibawa ke Masjid Negara.
“Sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah (Tun Abdullah) bolehlah datang ke Masjid Negara,” katanya pada sidang media selepas menuntut jenazah Tun Abdullah di IJN, di sini, malam ini.
Turut hadir anak Allahyarham Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah yang juga isteri Khairy.