Isteri penyanyi Ali XPDC iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 54, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, jam 6.08 petang tadi akibat kanser payudara.
Berita pemergian isterinya disahkan oleh Ali yang berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Ya, isteri sudah meninggal dunia. Arwah meninggal di depan mata saya,” katanya kepada BH Online.
Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 57, memaklumkan jenazah arwah akan diuruskan di Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi selepas waktu Isyak,” katanya.
Allahyarham Sharifah Azuwanna meninggalkan lima cahaya mata.
Pada 24 Mac lalu, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah, manakala isterinya, Sharifah Azuwanna dirawat di Hospital Putrajaya kerana kanser payudara.
Bagaimanapun, Ali sudah dibenarkan keluar dari wad sejak Khamis lalu dan kini berehat di rumah.
Sebelum ini, Kuala Lumpur : Penyanyi, Ali XPDC, 57, dan isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital tahun ini berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Anak sulung pasangan ini, Wan Aliuddin Aqiel Mohd Ali atau Aqiel, 29, berkata, persiapan Aidilfitri mereka sekeluarga juga ala kadar kerana dia dan adik-beradik juga terpaksa berulang alik ke hospital untuk menjaga ibu bapa yang ditahan di wad.
“Pastinya kami sekeluarga sedih kerana terpaksa menyambut Aidilfitri dan berkampung di hospital tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas kesihatan ibu bapanya, Aqiel berkata, bapanya sudah dibenarkan pulang sejak Khamis lalu.
“Alhamdulillah, ayah sudah keluar dari wad dan keadaan kesihatannya juga baik. Adik bongsu yang menjaga ayah di rumah ketika ini.
“Cuma ayah tidak boleh berjalan jauh dan masih menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Doktor beritahu ayah kena konsisten makan ubat dan masih ada rawatan susulan di hospital selepas ini,” katanya.
Video penyanyi Ali XPDC sedang menunaikan solat dalam keadaan duduk di katil hospital dikongsi oleh penyampai radio bebas, Isma Halil Hamzah di Facebook menyentuh hati pelayar media sosial.