Saya rasa saya nampak dia malam semalam.”
Itu komen seorang pengguna platform X yang membalas hantaran Efahanie iaitu kakak kepada penyanyi, Nidza Afham yang hilang sejak semalam.
Di ruangan komen, individu itu berkata, dia nampak Afham di kawasan Stadium Sultan Suleiman, Klang kira-kira jam 8.30 malam.
“Saya rasa saya nampak dia malam semalam sewaktu joging di Stadium Sultan Suleiman itu. Saya balik lebih kurang jam 8.30 malam dan dia ada lagi di situ. Jersi nama Apam warna gelap dan hitam,” tulis pengguna X itu.
Efahanie kemudiannya mengesahkan bahawa adiknya memang ada jersi yang tertera nama pendeknya.
“Salam. Dia ada jersi nama Apam. Saya tak pasti dia pakai apa malam tadi. Betul, dia ada jersi itu. Mungkin itulah yang dia pakai malam tadi,” katanya.
Afham yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie hilang sejak semalam selepas keluar berjoging.
Penyanyi, Nidza Afham, 23, dilapor hilang selepas keluar jogging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam tadi.
Afham yang juga abang kepada penyanyi, Aufahanie pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.
Kakaknya, Nur Irfahanie, 30, ketika dihubungi berkata, bagaimanapun dompet dan telefon adiknya itu ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.
“Dia keluar rumah pada jam 7.54 petang semalam dengan menaiki e-hailing ke Stadium Klang. Kemudian, individu terakhir yang dia mesej ialah teman wanitanya iaitu Miera pada jam 9.04 malam. Selepas itu dia sudah tidak balas dan angkat telefon.
“Kemudian Miera memberitahu kami yang lokasi terakhir Afham di Jambatan Klang. Selepas sejam pun, lokasi itu tak bergerak. Jadi, kami terus ke sana. Kebetulan, ada dua orang lain yang turut bantu kami mencari.
“Selepas pusing sekitar jambatan, dua lelaki yang turut membantu jumpa telefon dan dompet adik dalam keadaan baik. Cuma yang hilang kad ATM dan wang tunai,” katanya kepada Harian Metro.
Susulan itu, dia sekeluarga membuat laporan di Balai Polis Klang Selatan pada jam 4 pagi.
Menurutnya, tidak ada sebarang perkara yang mencurigakan berlaku ke atas adiknya berdasarkan mesej yang dibaca dalam telefon.
“Keluarga tak syak apa-apa pun, malah dia pun okay saja. Tidak ada pulak perkara pelik berlaku. Dia juga tidak ada masalah kewangan.
“Malah, dah baca semua mesej pun tidak ada yang mencurigakan atau berbaur ugutan dan sebagainya. Saya tanya juga pada Miera adakah mereka bergaduh, tapi tidak juga.
“Pada masa sama saya tidak menolak kemungkinan jika ada kejadian lain berlaku seperti terjun atau apa.
“Kawan-kawan dia pun terkejut apabila membaca hebahan yang kami kongsikan di media sosial. Mereka juga tak tahu apa-apa,” katanya.
Ibu kepada penyanyi Nidza Afham, Irni Yusmira Istihat memberitahu anak-anaknya sudah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dari beberapa premis di sekitar Stadium Sultan Suleiman untuk melihat pergerakan anaknya sebelum hilang.
Irni, 54, berkata, dapat dilihat imej Afham berada di kawasan itu dan pergi membeli minuman di kedai serbaneka sebelum hilang.
“Perkembangan terkini, setakat pagi tadi adik-beradik Afham dah keluar untuk memeriksa CCTV di persekitaran stadium. Kemudian, dah dapatkan gambar dari CCTV dengan menggunakan laporan polis. Memang nampak dia lalu lebih kurang jam 9.05 malam.
“CCTV itu dari beberapa tempat seperti kedai di sekitar stadium itu. Nampak dia sedang berjalan dan ada satu gambar dia pegang botol air. Mungkin sebab haus lepas dia joging, jadi dia pergi beli air di Speedmart,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada Afham menunjukkan sikap berbeza berbanding kebiasaan, Irni berkata, anaknya sama seperti hari-hari biasa.
“Semalam, telefon Afham memang dijumpai, tapi bateri 11 peratus. Jadi, bila dah dapat telefon itu ada kawan-kawan dia hubungi dan kami ahli keluarga yang jawab panggilan. Dia tak ada musuh atau apa sebab dia memang budak baik.
“Semalam saya ada program di Tanjung Karang. Jadi, pukul 4 petang saya dah gerak ke sana dan keluar joging lepas maghrib. Tapi Afham ini, ke mana pun, walaupun nak tidur rumah kawan dia akan maklumkan kepada saya.
“Dia selalu joging seorang diri. Ada ketika di sebelah malam dia pergi joging dan ada ketika dia pergi gym.
“Memang terkejut sangat sebab dia adalah anak yang tak timbulkan masalah, anak yang baik dan senang kalau nak minta tolong. Jadi, benda ini sangat mengejutkan dan kami keluarga pun ambil cuti untuk berusaha mencari,” katanya.
Sebagai ibu, Irni sentiasa berdoa agar anaknya ditemukan dalam keadaan selamat.
“Sebagai ibu saya harap dia dijumpai dalam keadaan selamat dan tak ada apa-apa berlaku sebab tak nampak apa-apa yang pelik sebelum berlaku.
Seperti hari-hari biasa dan tak ada langsung tingkah laku pelik. Saya sendiri tak ada rasa tak sedap hati atau apa pun sebelum kejadian,” katanya.
Terdahulu, Afham dilaporkan hilang selepas keluar berjoging malam semalam. Dengan menggunakan aplikasi pencarian, keluarganya hanya menemukan telefon pintar dan dompet di kawasan Jambatan Sungai Klang.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.