Kanakkanak tercekik gula kenyal meninggal dunia

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Murid Tahun 5 yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa telah meninggal dunia pada malam Khamis.

Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP menghembuskan nafas terakhirnya pada jam kira-kira 11 malam.

Perkara itu disahkan oleh ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, yang menghubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

“Saya baru dapat berita. Fahmi baru saja menghembuskan nafas terakhir. Ibu arwah baru ‘call’ saya tadi beritahu Fahmi dah tak ada.

Jenazah akan dikebumikan di kampung nenek arwah di Permatang Binjai, Penaga, dijangka pada jam 11 pagi esok.

“Saya tidak ada di sana (HPP), jadi saya tak tahu maklumat lebih lanjut. Apa-apa saya maklum semula,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohamad Fahmi dilaporkan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Mangsa sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.

Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.

Sebelum ini, KEPALA BATAS – Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mensensasikan kes kanak-kanak berusia 10 tahun yang tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian yang berlaku pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada guru seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan Sungai Dua kira-kira jam 12.49 tengah malam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu disaksikan oleh rakan sekelas mangsa yang juga berusia 10 tahun.

“Saksi memaklumkan mereka berdua dalam perjalanan ke tandas sebelum mangsa tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri. “Melihat keadaan itu, saksi segera meminta bantuan daripada guru kelas dan pihak sekolah bertindak pantas dengan cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa, namun usaha tersebut gagal.

“Susulan itu, pihak sekolah menghubungi Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan bantuan perubatan,”katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Anuar berkata, sebaik ambulans tiba, pegawai perubatan berjaya mengeluarkan gula-gula kenyal daripada mulut mangsa, namun mangsa masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber : sinar harian

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Related Posts