“Pada mlm kjadian tu.. sy ada cuba.. tapi..”- Suami dedah perbuatan isterinya sblm langgar pelajar..

“Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu. Saya mewakili isteri ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit,” kata Azhar Ahmad, 53.

Dia adalah suami kepada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit kemalangan di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dekat Kampung Sura Hujung, kelmarin yang mengorbankan tiga penuntut universiti itu dan seorang cedera.

Azhar berkata, memang niatnya daripada awal kejadian berlaku, mahu berjumpa ahli keluarga mangsa dan meminta maaf namun, ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa.

Menurutnya, isterinya yang berusia 49 tahun adalah seorang isteri yang baik dan penyayang, sebelum mengalami masalah kesihatan dan gangguan mental.

“Ketika mengandung anak keempat, 10 tahun lalu, doktor mengesahkan isteri mengandung di luar rahim dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.

“Ketika mendapat rawatan di hospital di Kuala Terengganu, dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah. Selepas sedar dari koma, isteri mula alami gangguan dan sering berhalusinasi dan bercakap sendirian.

“Sudah puas saya berubat, termasuk secara tradisional.. apa sahaja saya lakukan namun semuanya tidak berhasil,” katanya yang sudah berkahwin 30 tahun dengan pasangannya.

Azhar berkata, walaupun keadaan isterinya begitu, wanita berkenaan tetap bertanggung jawab, malah mengemas rumah, memasak dan tidak suka keadaan rumah yang bersepah.

“Dia juga penyayang dengan anak cucu, sering membeli dan memasak makanan untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat maghrib dan isyak bersama anak bongsu apabila isterinya keluar rumah sambil memandu kereta.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati isterinya yang sebelum itu menonton televisyen tiada di ruang tamu, bahkan pintu pagar rumah terbuka, dua pasang kasut isteri dan sehelai pakaiannya juga tidak ada.

“Dia tidak pernah keluar waktu malam. Kalau keluar, mesti ditemani saya dan anak-anak. Dia memandu pada waktu siang dan minum di kedai tidak jauh dari kampus,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas ke lokasi kejadian bersama anak bongsu sebaik dihubungi rakan yang memaklumkan SUV saya terbabit kemalangan.

“Terkejut saya melihat mayat pelajar di atas jalan raya. Saya ingat seorang mangsa, rupanya tiga orang. Saya cuba cari ahli keluarga mangsa di tempat kejadian ketika itu tetapi semua orang luar Dungun.

“Kemudian saya diarah polis untuk ke balai bagi diambil keterangan,” katanya yang memaklumkan cuba bertemu keluarga mangsa di Bilik Forensik Hospital Dungun namun dinasihatkan tidak berbuat demikian bagi mengelak kekecohan.

Katanya, dia sangat kesal dengan kejadian yang berlaku bahkan sudah menyorokkan kunci kenderaan sebelum kejadian.

“Tiada siapa mahu kejadian sebegini, saya sudah sorok kunci kereta namun perkara tetap terjadi,” katanya yang berharap pihak pengurusan UiTM membantunya bertemu keluarga penuntut terbabit untuk memohon maaf.

PEMANDU wanita yang merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun pada Rabu lalu, tidak pernah mendapat rawatan kesihatan mental di Terengganu.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, semakan mendapati tiada rekod wanita tersebut menerima rawatan kesihatan mental di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri berkenaan.

Bagaimanapun ujar Dr Kasemani, pihaknya tidak pasti sama ada wanita tersebut ada mendapatkan rawatan di negeri lain.

Beliau dalam pada itu menasihatkan ahli keluarga bagi individu yang berkemungkinan menghidap masalah kesihatan mental untuk tampil ke hadapan dan menghantarnya mendapatkan rawatan sewajarnya.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan tiga nyawa itu direman selama empat hari sejak Khamis (10 Oktober).

Dia yang merupakan suri rumah dan ibu kepada tiga anak itu kelihatan bingung ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

Dalam kejadian pada 7.35 malam, Rabu lalu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh suspek wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, di hadapan kampus.

Pelajar yang maut dikenali sebagai Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.

Sementara itu, Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur, mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Dungun.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.