Transkrip perakam suara kokpit milik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), N28JV yang terhempas di Elmina, Shah Alam tahun lalu, mendedahkan detik akhir dialami juruterbang yang panik dan ketakutan ketika tragedi itu.
Transkrip dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) menerusi Laporan Akhir nahas kemalangan udara itu hari ini, menunjukkan juruterbang berkomunikasi dengan menara kawalan di Subang sejurus sebelum mendarat.
Ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, pesawat sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan.
Pada jam 06:48:56.9 (Koordinasi Masa Sejagat/Coordinated Universal Time) bunyi klik dirakam melalui mikrofon di kawasan kokpit atau sumber bunyi.
Ini menunjukkan lift dump spoilers pesawat diaktifkan. Satu minit kemudian, bunyi yang serupa dengan nada amaran lift dump kedengaran, berlarutan selama 1.5 saat.
Pembantu Juruterbang (SIC), yang menjadi juruterbang menerbangkan pesawat, menyatakan kebimbangan, menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
Jam 06:49:00.0
SIC: Woah woah woah woah woah woah woah woah. Apa yang sedang berlaku?
Menurut laporan itu, nada amaran lift dump terus kedengaran sehingga tamat rakaman.
Dalam 10 saat terakhir, Enhanced Ground Proximity Warning System diaktifkan, dengan amaran seperti ‘minimums’, ‘sink rate’, dan ‘pull up’ bergema.
Antara detik terakhir yang dirakamkan perakam suara kokpit itu seperti berikut:
Jam 06:49:10.2
SIC: Oihhh… oihhh oihh.
Jam 06:49:11.2
PIC/Juruterbang: Ya Allah. [menjerit]
jam 06:49:11.2
SIC: Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. [menjerit]
Laporan akhir nahas Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam mendedahkan faktor nahas berlaku disebabkan tindakan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat.
Laporan siasatan dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) itu juga mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang ke atas nahas yang mengorbankan enam orang dalam tragedi itu.
Tindakan ini menyebabkan kehilangan lif secara tiba-tiba, mengakibatkan kehilangan kawalan dan kemalangan seterusnya,” menurut laporan setebal 148 muka surat itu yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu juga mendedahkan beberapa penemuan penting yang menjadi punca kemalangan pada pesawat Model 390 Premier 1 itu.
Penyimpangan daripada Protokol Tempat Duduk yang menyatakan susunan tempat duduk anak kapal menyimpang daripada protokol yang ditetapkan, dengan Pilot-in-Command menduduki tempat duduk sebelah kanan dan Second-in-Command di tempat duduk sebelah kiri, bertentangan dengan pesawat. Penyimpangan ini berkemungkinan menyumbang kepada pengurusan sumber dan komunikasi kru yang tidak berkesan.
“Latihan dan pengetahuan anak kapal yang tidak mencukupi mengenai operasi sistem pembuangan lif adalah faktor penyumbang kepada kemalangan. Ketidakbiasaan Komandan Kedua dengan risiko khusus yang berkaitan dengan sistem pembuangan lif membawa kepada lanjutan spoiler secara tidak sengaja,” menurut laporan itu.
Selain itu, Laporan Akhir turut menyatakan kawasan kelabu kawal selia dan amalan organisasi menjejaskan pengawasan dan pematuhan keselamatan.
“Kegagalan pengendali pesawat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk perkhidmatan udara tidak berjadual dan mematuhi peraturan Malaysia menyerlahkan jurang dalam pengawasan operasi.
“Selain itu, komunikasi yang tidak berkesan dan proses membuat keputusan terbukti semasa fasa kritikal penerbangan. Ketiadaan taklimat atau amaran khusus mengenai operasi sistem pembuangan lif dan keputusan untuk menyimpang daripada protokol tempat duduk standard menggariskan kekurangan dalam komunikasi dan membuat keputusan,” tulis laporan itu lagi.
Dalam kejadian pada 17 Ogos lalu, polis mengesahkan 10 individu termasuk lapan dalam pesawat maut.
Pesawat ringan yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor turut mengorbankan seorang anggota Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.