Baru-baru ini, tular satu rakaman suara dipercayai ibu kepada adik Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf yang menceritakan kronologi awal kehilangan kanak-kanak terbabit.
‘Dia mengamuk nak main taman’
Menerusi rakaman suara yang berdurasi satu minit itu memperdengarkan, seorang wanita dipercayai Ismanira memberitahu bahawa anak lelakinya itu hilang pada Selasa ketika dalam perjalanan ke rumah selepas pulang dari sekolah.
Dia (Zayn Rayyan) hilang tengahari masa saya baru ambil dia dari sekolah. Sebelum tu, saya pergi beli barang dapur. Lepas tu, sampai je dekat rumah dia ajak main taman.
Taman depan rumah je, dia mengamuk nak main taman. Tak nak naik rumah. Tambah wanita berusia 28 tahun itu lagi, disebabkan itu, dia telah membawa Zayn bermain taman sekitar 10 minit sebelum mereka akhirnya pulang ke rumah.
Kemudian saya ajak balik rumah, masa nak naik tangga rumah tu, dia macam nak tak nak ikut. Sebab dia macam nak mengamuk, nak meragam.
Saya tak pedulikan lah, saya tak pegang dia sebab pegang barang. Tapi dia betul-betul ada belakang saya waktu tu. Lepas tu, saya naik beberapa langkah, saya pusing belakang panggil nama dia. Tengok dia tak ada, senyap.
Ismanira akui langsung tidak menyedari bila Zayn melarikan diri memandangkan dia tidak mendengar sebarang bunyi tapak kasut. Memang saya tak perasan langsung bila dia lari, sebab tak ada bunyi suara langsung. Bunyi kasut pun tak ada. Dia terus lari macam tu je. Memang saya dah mencari belakang rumah, semak semua tak ada.
Pelik lah, sekelip mata..berdesup hilang macam tu je.
Terdahulu, Zayn dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai.
Zayn kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa berhampiran anak sungai dan terbaharu, polis mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat dibunuh.
Perkembangan ini ternyata melegakan kerana ramai yang bimbang kes tersebut akan tergantung begitu sahaja dan kematian Zayn Rayyan terus kekal misteri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini memaklumkan tidak akan menutup kes tersebut, malah menganggapnya sebagai ‘hutang’.
“Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah hutang saya kepada masyarakat,” memetik kata-kata beliau ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada awal Mei lalu. Jelas kini Mohd Shuhaily sedang berusaha untuk melunaskan ‘hutang’ tersebut.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Zayn Rayyan ini, ada juga yang terkejut dan bersimpati terhadap kedua ibu bapanya. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa penahanan pasangan suami isteri itu baru permulaan dan masih banyak perkara perlu disiasat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain juga memberitahu,
pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu bapa kanak-kanak itu.
Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberi ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang lebih arif bagi menjalankan siasatan.
Janganlah buat spekulasi atau komen-komen yang bukan-bukan berhubung kes ini di media sosial.