ABANG kandung kepada isteri suspek yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, tampil mendedahkan emosi adiknya terganggu semenjak mengetahui insiden tersebut.
Menurutnya, setiap hari dia melihat adik bongsunya yang juga merupakan ibu kepada seorang bayi berusia lapan bulan itu sering menangis.
“Setiap hari adik saya menangis, emosinya terganggu sejak mengetahui kejadian itu,” kata lelaki berusia 40-an itu yang enggan dikenali.
Video penuh keadaan isteri suspek:
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, kini mereka sekeluarga perlu menemani isteri suspek yang berusia 25 tahun untuk memberi sokongan moral agar dia tabah melalui hari yang mendatang.
Terdahulu, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak, pada 11 Julai lalu.
Dia dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.
Seorang anggota polis, dipercayai teman lelakinya, telah ditahan dan direman selama tujuh hari.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
Tuturnya lagi, dia sedar bahawa adiknya kini melalui saat paling getir dalam hidupnya lebih-lebih lagi mengenali suspek sejak lima tahun lalu sebagai seorang suami dan bapa yang cukup bertanggungjawab.
“Demi adik, kami sekeluarga merayu agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih dan biarkan polis melakukan siasatan mengikut lunas undang-undang.
“Adik juga terpaksa menjauhi media sosial kerana takut untuk membaca pelbagai andaian dibuat dalam kes ini yang hanya akan memburukkan lagi gangguan emosinya.
“Orang tak berada di tempat kami, jadi mereka tak tahu bagaimana sakitnya perasaan ini apatah lagi adik saya mangsa keadaan yang langsung tidak bersalah dan tahu apa-apa,” katanya lagi.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.