KRONOLOGI seminggu kes kehilangan dan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25. Bermula laporan polis dibuat sehari selepas lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini dikesan hilang sehingga mayat ditemui.
Juga kejayaan polis mendapatkan bahan bukti semalam, termasuk telefon bimbit yang dipercayai boleh merungkai kes pembunuhannya. Hari ini, jenazah gadis asal Miri, Sarawak yang bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Tanjung Malim ini dituntut keluarga untuk dikebumikan di Pekan, Pahang.
Polis menerima laporan pada jam 1.56 pagi berhubung kehilangan Nur Farah Kartini selepas gadis itu menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.
● Nur Farah Kartini dilaporkan kali terakhir dilihat selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sebuah taman perumahan di Tanjung Malim kira-kira jam 8 pagi 10 Julai l
● Mangsa kemudian didakwa menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya berikutan hujan ketika itu.
● Gadis itu kali terakhir dilihat berpakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.
● Komunikasi terakhir antara seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan terbabit dengan gadis itu ialah pada jam 8.14 pagi (hari kejadian) dan mangsa tidak dapat dihubungi selepas itu.
12 Julai 2024
● Seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan merayu Nur Farah Kartini pulang, menerusi laporan media.
● Gadis itu disifatkan sebagai seorang yang komited dalam kerja sepanjang hampir setahun bekerja di kedai percetakan berkenaan.
● Nur Farah Kartini dilaporkan tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu sesiapa yang mahu menyewa kereta kerana mendapat komisen daripada usaha itu.
● Abang Nur Farah Kartini yang tinggal di Selangor dilaporkan pergi ke Tanjung Malim pada malam hari kejadian untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan lanjut mengenai kehilangan adiknya itu.
15 Julai 2024
● Mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui di FELDA Gedangsa, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang. Mangsa dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
● Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Khan, berkata hasil pemeriksaan awal mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.
● Seorang suspek berusia 26 tahun ditahan.
● Abang mangsa ke lokasi kejadian.
Seorang penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini, tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada jam 8.48 pagi. Suspek dilihat memakai pelitup muka dan berbaju lokap polis berwarna oren.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penjawat awam berusia 26 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
● Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa suspek adalah teman lelaki mangsa. Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.
● Abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah, berkata jenazah Nur Farah Kartini dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak, untuk dikebumikan.
17 Julai 2024
● Tiga kenderaan pacuan empat roda Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba di lokasi pembunuhan bagi menjalankan siasatan lanjut.
● Pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dilihat memasuki ladang sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, jam 10 pagi bersama sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu.
● Pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari bahan bukti seperti telefon bimbit, rantai dan beberapa barang lain milik mangsa di kawasan parit.
● Jam 12.21 tengah hari, sebuah telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemui dalam parit oleh Pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas sejam menyelam.
● Pada masa sama, polis turut membawa suspek berusia 26 tahun ke lokasi kejadian untuk proses pengecaman telefon pintar mangsa.
● Jam 3 petang, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan tiba dan melawat lokasi kejadian selama kira-kira 30 minit. Dalam sidang media kemudian, beliau memaklumkan, polis sudah merakam percakapan 26 saksi termasuk rakan dan kawan sekerja mangsa serta saksi awam.
● Pencarian saki baki bahan bukti diteruskan di satu lagi lokasi, kira-kira 20 minit perjalanan dari ladang sawit Kampung Sri Keledang. Lokasi itu di Perak dan proses pencarian akan dilakukan sehingga pasukan penyiasat berpuas hati.
● Polis sahkan ladang sawit di Kampung Sri Kledang lokasi utama kes pembunuhan Nur Farah Kartini, selain memaklumkan terdapat masalah dari sudut visual, iaitu proses pengecaman mayat menyebabkan sampel DNA perlu diambil dari ibu dan adik-beradik mangsa.
18 Julai 2024
● Polis sahkan keputusan hasil ujian sampel DNA yang diperoleh adalah milik Nur Farah Kartini.
● Jenazah Nur Farah Kartini dituntut keluarga dan dibawa keluar dari Hospital Sungai Buloh (HSB). Kenderaan milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membawa jenazah bergerak keluar diiringi kereta polis jenis Honda Civic pada jam 2.05 petang.
tindakan keluarga arwah
Ahli keluarga kepada Nur Farah Kartini menggesa seorang individu bernama Nor Fatihah Idris untuk membuat permohonan maaf susulan didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
Individu terbabit didakwa telah membuat andaian melulu dan menfitnah arwah hamil anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan suspek.
Teman lelaki dia (Nur Farah Kartini) tu polis dan suami orang. Lelaki itu tak nak bertanggungjawab ke atas Farah sebab mengandung.
Susulan itu, salah seorang ahli keluarga mangsa tampil bersuara dan meminta individu terbabit untuk membuat permohonan maaf.
Katanya, kenyataan tidak berasas itu telah mengguris hati ahli keluarga mangsa.
Saya adik ipar kepada abang mangsa. Mohon pertolongan untuk sampaikan kepada Nor Fatihah Idris untuk buat permohonan maaf secara peribadi dan terus kepada abang serta keluarga mangsa.
Kami sekeluarga amat terkesan dengan kenyataan tersebut. Minta dia hubungi saya secara peribadi. Terima kasih.
Terdahulu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam 6 petang Isnin selepas dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu.
Susulan itu, polis menahan seorang suspek yang juga penjawat awam berusia 26 tahun yang reman di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. Kes disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, polis menerima laporan tentang kehilangan mangsa pada jam 1.56 pagi selepas mangsa menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.