Georgetown: “Ibu reda kalau abang nak pergi.” Begitu kata Nurain Hasnorizal, 25, ibu kepada Muhammad Akil Syauqi, 3, sebelum anak sulungnya itu meninggal selepas termakan makanan ringan dipercayai bercampur racun.
Nurain berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya ketika lawatan pada jam 7 pagi tadi.
Katanya, dia berpeluang mengusap pipi dan tangan anaknya serta berbual dengan kanak-kanak malang itu.
“Saya bercerita mengenai waktu kecilnya dan pegang tangan serta bisikkan di telinga bahawa saya reda jika dia mahu ‘pergi’ dulu.
“Saya lihat keadaannya makin tidak memuaskan sebelum membaca surah Yasin dan tidak lama kemudian dia menghembus nafas kira-kira jam 8.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Nurain berkata, urusan bedah siasat hampir selesai dan jenazah akan dibawa ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim bagi disemadikan.
“Saya reda yang berlaku, Allah SWT pinjamkan dia sedikit masa untuk kami dan jadi kenangan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kedua-dua anak saya,” katanya lagi.
Anak bongsunya Muhammad Luth Syauqi, 2, masih kritikal dan dirawat di HPP.
“Keadaan adik (Muhammad Luth Syauqi) dilihat baik dan doktor masih berusaha merawatnya.
“Sedih lihat keadaannya, sama-sama berdoa dan semoga ada keajaiban dari Allah SWT.
“Semalam, saya dihubungi ibu kepada penduduk yang didakwa meletakkan racun dalam keropok itu dan dia turut menyatakan maaf.
“Saya belum fikir tindakan kerana fikiran saya masih buntu dan serahkan semua kepada polis.
“Kami masih tidak tahu racun apa yang dicampurkan dalam keropok itu,” katanya.
Hadir sama ialah dua pengasuh kepada Muhammad Akil Syauqi yang turut menceritakan kenangan manis bersama kanak-kanak itu.
Roziana Mohd Rosli, 41, berkata, dia menjaga kanak-kanak berkenaan sejak berusia enam bulan dan mengakui mudah menjaganya.
“Dia sangat manja dengan kami sekeluarga dan itu yang paling saya takkan lupa.
“Memang mudah jaga Akil dan dia juga bukan ‘picky eater’ (memilih makanan) seperti sesetengah kanak-kanak,” katanya di sini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai dua beradik, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, kelmarin.
Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.
Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.
Penduduk Kampung Padang Ubi, di sini akan menjadikan kejadian dua beradik yang termakan keropok yang mengandungi racun tikus Ahad lalu, sebagai iktibar kepada mereka supaya lebih berhati-hati ketika memasang umpan bagi menangkap haiwan liar di kawasan itu.
Ini berikutan tindakan seorang pekebun meletakkan racun tikus dalam makanan ringan berupa keropok yang bertujuan mengusir monyet di kawasan berkenaan sebelum dimakan tetapi dimakan dua beradik terbabit.
Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia awal hari ini di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih kritikal selepas tiga hari kejadian berlaku.
Penduduk kampung berkenaan, Hasma Mohamad, 57, berkata, kejadian tragis itu perlu menjadi pengajaran buat selama-lamanya kepada penduduk kampung atau di mana saja bagi mengelak kejadian sama berulang.
Beliau berkata, walaupun peningkatan jumlah haiwan liar yang menceroboh tanaman dan harta benda penduduk kampung adalah perkara yang serius namun tindakan memasang racun atau perangkap perlu dilakukan dengan berhati-hati selepas ini.
“Semua orang perlu mengambil pengajaran di atas tragedi ini sebagai peringatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila berhadapan dengan haiwan liar atau mengendalikan sebarang jenis racun,” katanya ketika ditemui hari ini.
Hasma yang juga suri rumah berkata, penduduk kampung pernah mengadu berkaitan kehadiran monyet dan babi hutan yang menceroboh tanah ladang mereka kerana tidak dapat tahan dengan kelakuan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Kampung (MKK) Kampung Padang Ubi, Inche Borhan berkata, ancaman haiwan liar sudah pun dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak lapan bulan lalu, namun mendakwa tiada tindakan diambil setakat ini.
Katanya, empat lagi kampung turut terjejas akibat ancaman itu antaranya Kampung Bikan, Kampung Patong, Kampung Petani, dan Kampung Bikan Atas.
“Kira-kira 5,000 orang terjejas dengan isu ini. Bagaimanapun, kejadian membabitkan dua beradik itu perlu ditangani demi keselamatan semua penduduk,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jamalul Nasir Ibrahim berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai gangguan monyet dan babi hutan di kawasan itu.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.